CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, 12 December 2011

Rabiatul Adawiyah :)

✿• بِسْــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــمِ•✿

Assalamualaikum..
Sudah lama teringin untuk berkongsi untuk menitipkan kisah Wali Allah, Srikandi agung dalam Islam Rabi'atul Adawiyah buat para sahabat.. Alhamdulillah, hari ini berkesempatan untuk menunaikan hajat mendalami kisah dan mengenali dengan lebih dekat siapa srikandi agung dalam Islam ini di dalam sebuah blog yang turut menceritakan serba sedikit tentang Wali Allah ini. =)

Rabiatul Adawiyah adalah seorang wali Allah yang mengabdikan dirinya kepada Allah. Kesabaran dan perjuangan harus dicontohi oleh wanita islam hari ini. Walaupun sejarah hidupnya bermula dari seorang wanita yang tidak mentaati Allah, akhirnya di memilih jalan sufi dalam mencari ketenangan hidup.

Kisah bermula pada zaman dahulu di mana kejahilan menyelebungi masyarakat arab kebanyakan sekolah agama telah ditutup. Ayah Rabiatul Adawiyah adalah guru agama tapi terpaksa menjadi pendayung sampan. Untuk menarik minat orang menaiki sampannya dia akan mendendangkan lagu yang merdu ketika mendayung sampan. Rabiatul Adawiyah sentiasa disamping ayahnya hinggalah dia dewasa, apabila ayahnya meninggal dunia. Dia menggantikan tempat ayah sebagai pendayung sampan dan mendendangkan lagu yang merdu. Mendengarkan suaranya yang merdu itu menarik hati seorang lelaki untuk membawanya untuk dipersembahkan kepada raja dan dia terpaksa berkhidmat untuk raja.
Setiap hari dia menyanyi dan menuang arak kepada raja dan tetamu raja.Suatu hari timbul kesedaran di hatinya merasa insaf dengan segala perbuatannya kerana kejahilannya itu sedangkan bapanya adalah seorang guru agama. Dari hari itu Rabiatul Adawiyah tidak mahu lagi menyanyi dan menuang arak. Dia sering duduk bersendirian berzikir kepada Allah. Dia juga diseksa oleh raja dengan kerja yang berat. Pernah suatu hari pengawal raja disuruh melepaskan ular dan kala jengking ke dalam bilik Rabiatul Adawiyah kerana raja tidak senang melihat dia sentiasa berzikir. Tetapi akhirnya ular tersebut menerkam pengawal raja. Rabiatul Adawiyah tetap tenang, walaupun dia tidak diberi makan dia tetap mampu menjalankan ibadat kepada Allah. Apabila raja mengintainya di dalam bilik, kelihatan dia sedang munajat memohon doa kepada Allah. di dalam kegelapan biliknya kelihatan cahaya yang menyuluh ke arahnya. Pada suatu malam raja bermimpi seorang tua datang dan mengatakan supaya melepaskan Rabiatul Adawiyah dan jangan lagi menyiksanya kemudian raja melihat Rabiatul Adawiyah berpakaian serba putih naik ke atas langit. Beliau terus ke bilik Rabiatul Adawiyah untuk melihat sama ada Rabiatul Adawiyah masih ada atau sudah pergi. Kelihatan Rabiatul Adawiyah masih berzikir dan berdoa.

Sampai habis tempoh masa Rabiatul berkhidmat dengan raja, akhirnya dia dilepaskan oleh raja. Rabiatul Adawiyah berterima kasih kepada raja dan tidak meminta apa-apa daripada raja walaupun raja memberi peluang kepadanya untuk meminta apa saja sebelum dia pergi. Apabila dia pulang ke kampungnya, rumah telah roboh dan penduduk kampungnya juga ramai yang telah berpindah. Dia meminta orang menyediakan sebuah pondok kecil untuknya.


Mari kita baca pula serba sedikit kisah-kisah teladan Rabi'atul Adawiyah:

Rabi'atul Adawiyah merupakan salah seorang srikandi
agung dalam Islam. Beliau terkenal dengan sifat wara'
dan sentiasa menjadi rujukan golongan cerdik pandai
kerana beliau tidak pernah kehabisan hujjah.
Ikutilah antara kisah-kisah teladan tentang beliau..

KISAH 1:

Suatu malam yang sunyi sepi, di kala masyarakat sedang khusyuk tidur, seorang pencuri telah menceroboh masuk ke dalam pondok yang telah dibina untuk Rabi'atul Adawiyah. Namun setelah menyelongkar sekeliling berkali-kali, dia tidak menemui sebarang benda berharga kecuali sebuah kendi untuk kegunaan berwuduk, itupun telah buruk. Lantas si pencuri tergesa-gesa untuk keluar dari pondok tersebut.Tiba-tiba Rabi'atul Adawiyah menegur si pencuri tersebut, "Hei, jangan keluar sebelum kamu mengambil sesuatu dari rumahku ini."Si pencuri tersebut terperanjat kerana dia menyangka tiada penghuni di pondok tersebut. Dia juga berasa
hairan kerana baru kini dia menemui tuan rumah yang begitu baik hati seperti Rabi'tul Adawiyah.
Kebiasaannya tuan rumah pasti akan menjerit meminta tolong apabila ada pencuri memasuki rumahnya, namun lain pula yang berlaku."Sila ambil sesuatu." kata Rabiatul Adawiyah lagi
kepada pencuri tersebut."Tiada apa-apa yang boleh aku ambil daripada rumah mu
ini." kata si pencuri berterus-terang."Ambillah itu!" kata Rabi'atul Adawiyah sambil
menunjuk pada kendi yang buruk tadi."Ini hanyalah sebuah kendi buruk yang tidak berharga."
Jawab si pencuri."Ambil kendi itu dan bawa ke bilik air. Kemudian kamu ambil wudhu' menggunakan kendi itu. Selepas itu solatlah 2 rakaat. Dengan demikian, engkau telah mengambil sesuatu yang sangat berharga daripada pondok burukku ini." Balas Rabi'tul Adawiyah.

Mendengar kata-kata itu, si pencuri tadi berasa
gementar. Hatinya yang selama ini keras, menjadi
lembut seperti terpukau dengan kata-kata Rabi'tul
Adawiyah itu. Lantas si pencuri mencapai kendi buruk
itu dan dibawa ke bilik air, lalu berwudhu'
menggunakannya.. Kemudian dia menunaikan solat 2
rakaat. Ternyata dia merasakan suatu kemanisan dan
kelazatan dalam jiwanya yang tak pernah dirasa sebelum ini.

Rabi'atul Adawiyah lantas berdoa, "Ya Allah, pencuri
ini telah menceroboh masuk ke rumahku. Akan tetapi dia tidak menemui sebarang benda berharga untuk dicuri.Kemudian aku suruh dia berdiri dihadapan-Mu. Oleh itu janganlah Engkau halang dia daripada memperolehi nikmat dan rahmat-Mu."

KISAH 2 :

Pada suatu hari, sekumpulan golongan cerdik pandai
telah datang ke rumah Rabi'atul Adawiyah. Tujuan mereka tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menguji beliau dengan pelbagai persoalan. Malah mereka telah bersedia dengan satu persoalan yang menarik. Mereka menaruh keyakinan yang tinggi, kerana selama ini Rabi'atul Adawiyah tidak pernah ketandusan hujah.

"Wahai Rabi'atul Adawiyah, semua bentuk kebajikan yang tinggi-tinggi telah dianugerahkan oleh Allah kepada kaum lelaki, namun tidak kepada kaum wanita."Ketua rombongan itu memulakan bicara.
"Buktinya?" Balas Rabi'atul Adawiyah.

"Buktinya ialah, mahkota kenabian dan Rasul telah
dianugerahkan kepada kaum lelaki.Malah mahkota
kebangsawanan juga dikurniakan kepada kaum lelaki.
Paling penting, tidak ada seorang wanita pun yang
telah diangkat menjadi Nabi atau Rasul, malah semuanya dari golongan lelaki." Jawab mereka pula dengan yakin.

"Memang betul pendapat tuan-tuan sekalian. Akan
tetapi harus diingat bahawa sejahat-jahat pangkat ada
pada kaum lelaki juga. Siapa yang mengagung-agungkan diri sendiri? Siapa yang begitu berani mendakwa dirinya sebagai Tuhan? Dan siapa pula yang berkata :
"Bukankah aku ni tuhanmu yang mulia?" Dengan tenang, Rabi'atul Adawiyah membalas hujah mereka sambil merujuk kepada Firaun dan Namrud.

Kemudian Rabi'atul Adawiyah menambah lagi, "Anggapan dan ucapan seperti itu tidak pernah keluar dari mulut seorang wanita. Malah semuanya ditimpakan kepada kaum lelaki."

KISAH 3 :

Suatu hari, Rabi'atul Adawiyah terlihat seseorang
sedang berjalan-jalan dengan kepalanya berbalut sambil menagih simpati daripada orang ramai. Kerana ingin tahu sebabnya orang itu berbuat demikian, Rabi'atul Adawiyah bertanya, "Wahai hamba Allah! Mengapa engkau membalut kepalamu sebegini rupa?"

"Kepalaku sakit." Jawab orang itu dengan ringkas.

"Sudah berapa lama?" Tanya Rabi'atul Adawiyah lagi.

"Sudah sekian hari." Jawabnya dengan tenang.

Lantas Rabi'atul Adawiyah bertanya lagi,"Berapa
usiamu sekarang?"

Orang itu menjawab,"Sudah 30 tahun"

"Bagaimana keadaanmu selama 30 tahun itu?" Tanya
beliau lagi.

"Alhamdulillah, sihat-sihat saja." Jawabnya.

"Apakah kamu memasang sebarang tanda di badanmu
bahawa kamu sihat selama ini?" Tanya Rabi'atul
Adawiyah.

"Tidak." Jawab orang itu ragu-ragu.

"Masya Allah, selama 30 tahun Allah telah menyihatkan tubuh badanmu, tetapi kamu langsung tidak memasang sebarang tanda bagi menunjukkan kamu sihat sebagai tanda bersyukur kepada Allah. Jika sebaliknya, pasti manusia akan bertanya kepada kamu sebabnya kamu sangat gembira. Apabila mereka mengetahui nikmat Allah kepadamu, diharapkan mereka akan bersyukur dan memuji Allah." Jelas Rabi'atul Adawiyah.

"Akan tetapi, kini apabila kamu mendapat sakit
sedikit, kamu balut kepalamu dan kemudian pergi ke
sana sini bagi menunjukkan sakitmu dan kekasaran Allah terhadapmu kepada orang ramai, Mengapa kamu berbuat hina seperti itu?" Sambung Rabi'atul Adawiyah lagi.

Orang yang berbalut kepalanya itu hanya diam seribu
bahasa dan tertunduk malu denga perlakuannya. Kemudian dia beredar meninggalkan Rabi'atul Adawiyah dengan perasaan kesal dan insaf.


Saya begitu tertarik, bagaimanakah Rabiatul Adawiyah, seorang wanita, yang mempunyai 9 nafsu tidak langsung melihat kepada dunia walaupun sekelip??
Bagaimanakah Rabiatul Adawiyah, seorang wanita sebatang kara, yang tidak mempunyai apa2, tidak langsung terlintas dihatinya memerlukan rumah yang selesa, sedikit duit untuk makanannya, hatta ingin diberi percuma sekalipun, beliau menolak??
Bagaimanakah Rabiatul Adawiyah, seorang wanita yang cantik lagi solehah, tidak langsung terlintas dihatinya untuk berkahwin, walaupun yang meminangnya seorang raja dan seorang ulama'??

Indah sungguh akhlak Rabiatul Adawiyah, seorang wali Allah. namanya menjadi sebutab oleh semua penduduk Basrah, sehinggakan guru-guru yang dahulunya mengajar beliau,belajar semula daripada Rabiatul Adawiyah. Beliau hanya sentiasa memikirkan dan merindui Kekasihnya, hingga sanggup menolak apa2 sahaja perkara yang boleh menghalang beliau daripada berhenti sedetik mengingati Kekasihnya.
Mulia, tinggi dan hebat sungguh seorang wanita ini.
Tiada lagi wanita lain yang sanggup menolak kemewahan dunia dan suami yang 'alim dan mempunyai pangkat melainkan Rabiatul Adawiyah.


No comments:

Post a Comment